:: EzRyaNa 28′s ::

Just another Edublogs.org weblog

PENCEMARAN BUNYI

Filed under: Uncategorized — ezryana at 6:20 pm on Friday, October 10, 2008

                                                  

Isu pencemaran bunyi mungkin jarang diperkatakan di negara kita kerana perkara ini ramai yang tidak ambil peduli tentangnya. Perkara sebegini sebenarnya harus kita ambil tahu kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Setiap manusia yang sering terdedah pada kawasan atau tempat yang terlalu bising boleh membawa kepada masalah pendengaran. Masalah ini semakin berleluasa tanpa kita sedari memandangkan ekonomi negara telah mendorong untuk membangunkan pembangunan yang pesat dan maju. Begitu juga untuk membaik pulihkan harta benda yang telah rosak disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri, semuanya menggunakan alat dan mesin. Jika perkara ini tidak diketengahkan, ianya boleh membawa banyak masalah kepada orang ramai.

Punca-punca yang sering menimbulkan masalah pencemaran bunyi ialah dengan pertambahan kenderaan yang menimbulkan bunyi yang tidak menyenangkan, seperti bunyi hon yang sering berlaku di kawasan-kawasan yang sibuk seperti di bandar. Ini sering berlaku di waktu pagi yang mana mereka hendak berangkat untuk pergi ke tempat kerja dan di waktu petang iaitu waktu mereka untuk pulang ke rumah masing-masing. Begitu juga dengan bunyi enjin kenderaan berat, terutama yang sudah lama, termasuklah kereta yang telah diubahsuai. Bukan sahaja mengeluarkan asap dari ekzos yang menyebabkan pencemaran udara, tetapi juga mengeluarkan bunyi yang amat bising.

Proses pembinaan jalan raya, pembangunan kerajaan dan pusat membeli-belah serta kilang yang memproses barang-barang juga menggunakan jentera dan mesin yang besar. Dengan adanya penduduk yang semakin bertambah, maka kerajaan telah memperuntukkan sebahagian besar ekonomi negara untuk pembinaan rumah-rumah atau kawasan perumahan bagi mereka. Ini melibatkan penggunaan jentera dan mesin besar bagi pemotongan lereng bukit untuk kawasan perumahan tersebut. Selain itu, kedai-kedai serta pusat membeli-belah bagi orang ramai juga semakin banyak didirikan dan dengan itu, mesin atau jentera yang berat telah digunakan. Kesemua ini telah menyumbangkan kepada masalah pencemaran bunyi.

Di zaman serba moden ini, perkembangan dunia hiburan juga tidak ketinggalan. Justeru itu, peralatan hi-fi telah dicipta bagi menimbulkan keseronokan yang optimum. Dengan adanya peralatan sebegini, sesetengah individu gemar membunyikannya dengan kadar yang amat tinggi, iaitu melebihi dari had pendengaran manusia yang sepatutnya, 80 desibel, sehingga pagi-pagi buta. Ini membuatkan mereka yang tinggal berhampiran mengalami gangguan serta boleh menimbulkan kemarahan.

Semua punca-punca di atas telah membawa kepada gangguan pada organ pendengaran manusia. Jika sering terdedah kepada kawasan tersebut, ini boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi pekak. Disamping itu juga, pencemaran bunyi boleh menyebabkan gangguan pada psikologi dan tekanan emosi. Kajian terhadap pekerja-pekerja kilang yang sering terdedah kepada bunyi-bunyi jentera dan mesin telah menunujukkan bahawa tahap pendengaran mereka lebih rendah berbanding dengan pekerja yang tidak terdedah kepada keadaan sedemikian.

Oleh itu, sebagai kesimpulannya, pencemaran bunyi ini boleh membawa kesan yang negatif yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang dalam melakukan aktiviti seharian mereka dan juga boleh menyebabkan kemerosotan prestasi seseorang. Kita bukan bermakna mahu menghindar dari penggunaan alat-alat berteknologi moden, tetepi kita haruslah menangani masalah ini secara sistematik dan saintifik supaya ianya menjadi seimbang serta membawa kesenangan kepada masyarakat.



No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>